BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, August 17, 2009

DARAH TALI PUSAT PENAWAR AJAIB

Berpotensi merawat lebih 70 jenis penyakit termasuk barah darah, penyakit jantung, kecederaan saraf tunjang dan parkinson

SECARA tradisi, tali pusat bayi yang baru dilahirkan akan diserahkan kepada bapa untuk dibasuh sebelum ditanam. Berdekad lamanya, tiada siapa mengetahui keistimewaan darah dari tali pusat dan keupayaannya sebagai penawar ajaib untuk lebih 70 jenis penyakit.

Hanya kira-kira 20 tahun lalu, saintis dan penyelidik mendapati, darah tali pusat mengandungi banyak sel dan satu daripadanya sel stem. Pada 1988, sekumpulan ahli perubatan Perancis berjaya melakukan pemindahan sel stem bagi pesakit Fanconi Anemia.

Di Malaysia, sejarah tercatat sekitar 1997 apabila Hospital Universiti (ketika itu) melakukan pemindahan sel stem darah tali pusat kepada seorang kanak-kanak pesakit talasemia major. Sel stem berkenaan didermakan adiknya yang baru dilahirkan. 

Bagaimanapun sejarah itu tidak banyak kesannya kepada penduduk Malaysia secara keseluruhan. Dalam satu kajian rambang di kalangan penduduk Lembah Klang baru-baru ini, hanya 42 peratus responden tahu mengenai darah tali pusat. Jika dibandingkan dengan negara luar, Malaysia sebenarnya agak ketinggalan dari segi kesedaran dan kemudahan penyimpanan darah tali pusat.

Selain Pusat Darah Negara yang menubuhkan Bank Darah Tali Pusat pada 2002, yang menyimpan darah tali pusat untuk kegunaan awam; hanya ada dua bank darah swasta menawarkan perkhidmatan ini. Satu daripadanya StemLife Bhd yang sudah beroperasi sejak empat tahun lalu.

Pengarah Operasi StemLife Bhd, Zahrein Redza, berkata sehingga ini walaupun mereka memiliki 6,000 pelanggan, kebanyakan mereka bukan Bumiputera.

“Kesedaran Bumiputera untuk menyimpan darah tali pusat bayi masih rendah. Mungkin maklumat tidak sampai atau mereka tidak tahu ‘keajaiban’ darah tali pusat kerana jika diambil kira dari segi kos, menyimpan darah tali pusat hanya berharga RM250 setahun,” katanya.

Dari segi perubatan, tubuh manusia memiliki 200 jenis sel seperti sel hati, sel lemak, sel saraf dan sel kulit, tetapi setiap sel ini bersifat tersendiri. Sel kulit tidak boleh menjadi sel hati begitu juga sebaliknya.

Sel stem adalah sel ‘kosong’. Ia memiliki keupayaan untuk terbahagi dan menghasilkan lebih banyak sel ‘kosong’ dan merangsang pembentukan sel-sel lain seperti sel darah merah dan sel darah putih. Keupayaan itu menjadikannya sangat istimewa.

Sel stem dewasa berbeza dengan sel stem bayi. Sel stem matang bersama usia justeru menyimpannya dengan teknik yang betul, mampu mengelakkannya ‘matang’ dan berupaya menyelamatkan bayi atau ahli keluarganya di masa hadapan.

Dari mana datangnya sel stem embrio? Manusia memulakan kehidupan sebagai sel tunggal yang dikenali sebagai zigot. Sel ini boleh terbahagi dan membentuk dua sel. Dalam tempoh lima hari, pembentukan ‘blastocyst’ terjadi. ‘Blastocyst’ lebih kecil daripada pasir dan mengandungi dua sel, ‘trophoblast’ dan ‘inner cell mass’. Sel stem embrio adalah sel yang membentuk ‘inner cell mass’.

Apa perlunya menyimpan darah tali pusat? Lebih 70 jenis penyakit berpotensi dirawat menggunakan darah tali pusat. Antaranya barah darah, penyakit jantung, kecederaan saraf tunjang, parkinson dan jumlah itu bertambah dari saban tahun.

Zahrein berkata, di Malaysia penyakit talasemia major semakin meningkat. Malah dianggarkan 4..5 peratus penduduk Malaysia adalah pembawa. 

“Keperluan pemindahan darah sangat mendesak untuk pesakit talasemia major. Tetapi mungkin mereka akan bertemu penawar yang mujarab jika pesakit atau ahli keluarga terdekatnya ada menyimpan darah tali pusat,” katanya. 

Darah tali pusat yang disimpan tiada tarikh luput. Selagi teknik penyelenggaraannya betul (disimpan dalam nitrogen cair dengan suhu beku - 196 darjah selsius) ia sentiasa berupaya menjadi penawar kepada bayi. Jika mungkin bukan bayi itu yang memerlukannya, ayah, ibu atau adik beradik kandungnya yang berhadapan dengan penyakit kritikal masih boleh mengambil manfaat..

Begitupun, keberkesanan darah tali pusat terhadap saudara jauh atau individu di luar keluarga berkenaan bergantung kepada keadaan penyakit yang dihidapinya. Darah tali pusat yang datang dari bayi yang berhadapan dengan penyakit tertentu seperti sindrom down hanya boleh digunakan terhadapnya saja.

Keberkesanan pemindahan darah tali pusat juga bergantung pada ‘keserasian’ penderma-penerima, jumlah sel stem yang ada dalam darah tali pusat dan tahap penyakit yang dihidapi seseorang.

Zahrein berkata, di StemLife kos penyimpanan darah tali pusat pada kadar RM2,500 untuk proses pendaftaran, ujian, pemprosesan dan penyelenggaraan manakala RM250 untuk tahun kedua dan seterusnya. Jumlah itu katanya, lebih murah jika dihitung dengan harga segelas teh tarik yang dinikmati rakyat Malaysia saban pagi.

Jenis Sel Stem

a) Sel stem totipotent boleh menjadi apa saja jenis sel dalam tubuh termasuk placenta. 

b) Sel stem pluripotent - terhasil dalam tempoh empat hari selepas proses penyuburan boleh menjadi apa saja jenis sel termasuk sel stem totipotent dan sel placenta.

c) Sel stem multipotent warisan daripada sel setm pluripotent dan sel lain dalam tisu. 

d) Sel progenitor boleh menghasilkan satu jenis sel.

Penyakit yang boleh dirawat menggunakan sel stem

* Barah darah
* Penyakit darah (talasemia)
* Penyakit metabolik
* Keimunan
* Jantung
* Diabetes
* Parkinson

Mengapa perlu menyimpan sel darah tali pusat anak anda?

* Ia adalah aset biologi yang berpotensi menyelamatkan nyawa bayi atau ahli keluarga.

* Proses pengumpulan darah tali pusat tidak invasif, tidak menyakitkan dan tiada risiko pada ibu dan bayi

* Berbanding sel stem daripada sum-sum tulang dewasa, sel stem darah tali pusat lebih mudah diterima badan dan mempunyai risiko penolakan yang rendah

INFO:

Jika dibandingkan dengan pengambilan sel stem tulang sum-sum, proses pengambilan darah tali pusat tidak menyakitkan dan tiada risiko untuk bayi dan ibu. Ia hanya memakan masa lima minit selepas bayi dilahirkan.

Sel stem darah tali pusat tidak memiliki tarikh luput, boleh diwarisi asalkan disimpan dengan teknik yang betul. Ia lebih bagus daripada sel stem tulang sum-sum kerana tidak terdedah pada kuman (kerana diambil sebaik saja bayi dilahirkan) berbanding sel stem tulang sum-sum.

Jika anda ingin menderma sel stem darah tali pusat bayi anda, sila berhubung dengan Pusat Darah Negara. Sekiranya ingin menyimpannya untuk kegunaan peribadi ada dua bank swasta yang boleh anda hubungi.

0 comments: